Inspirasi Surah Yasiin
sempena Nisfu Syaaban
Pada zaman dahulu negeri Anthokia, Syria (menurut
kebanyakan ulama mufassirien, kawasan yang disebut Allah sebagai al--Qaryah dalam
ayat yang ke-13 Surah Yasiin) diperintah oleh seorang raja musyrik yang kejam. Untuk menyelamatkan rakyatnya daripada
kekejaman tersebut, Allah telah mengutuskan dua orang rasul bernama Sama’an a.s.
dan Yahaya a.s. ke sana untuk menyebarkan ajaran agama yang dibawa oleh Nabi
Isa a.s.
Kehadiran mereka ke negeri itu telah disanggah
oleh penduduknya dengan kasar dan biadab sekali. Mereka telah diugut dengan
ancaman siksa dan bunuh. Bagi menguatkan lagi kerja-kerja dakwah mereka, Allah
telah mengutuskan seorang lagi rasul. Rasul yang ketiga ini tidak diketahui
namanya kerana tidak dinyatakan dalam mana-mana kitab suci. Hakikatnya ketiga-tiga
orang rasul ini telah didakwa kepada penduduk negeri tersebut sepertimana yang
dilakukan terhadap Nabi Isa a.s.
Walaupun semua penduduk di negeri berkenaan
terus mendustakan rasul-rasul tersebut, namun ada juga seorang hamba Allah yang
datang untuk mendengar dakwah mereka. Lelaki
tersebut bernama Habib al-Najjar. Beliau tinggal di pinggir kota negeri tu.
Setelah mendengar semua para rasul tersebut, Habib al-Najjar pun merayu kaumnya
supaya beriman. Walau bagaimanapun
seruannya ditolak oleh kaumnya dan akhirnya beliau sendiri dibunuh dengan
kejam.
Kematian Habib al-Najjar disambut oleh para
malaikat di pintu syurga dengan begitu meriah sambil mempersilakan masuk ke
syurga dengan penuh sopan.
قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَالَيْتَ
قَوْمِي يَعْلَمُون
|
بِمَا غَفَرَ لِي
رَبّـِي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِين
|
“Dia
disambut dengan ucapan, “Masuklah ke syurga!”. (Dan apabila Habib al-Najjar
melihat segala nikmat syurga yang tidak terbayang olehnya, dia pun berkata),
“Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui (26) apa yang menyebabkan Tuhanku
memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan”
(27).
TAFSIR SURAH YAASIN DARI PERSPEKTIF SAINS
DAN SEJARAH
~ Zawawi Haji Ahmad ~