Tuesday, May 6, 2014

Berserah Diri Dan Berbuat Baik...

“Tidak!  Barangsiapa menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan dia berbuat baik, dia mendapat pahala di sisi Tuhannya dan tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.”
(Al-Baqarah:  112)

Di antara perilaku orang-orang yang beriman ialah apabila mereka ditimpa sesuatu yang tidak menyenangkan, mereka akan mengkaji sebab-sebab berlakunya dan berusaha kuat untuk mengatasinya.  Kalau belum juga dapat di atasi, ia menyerahkan permasalahan itu kepada Allah.  Niat mereka tidak sedikit pun menjadi lemah dan hati mereka juga menyedari bahawa untuk mengatasi semua kesusahan itu dia menyerahkan diri kepada kekuatan yang hakiki, iaitu Allah.

(Al-Quran Al-Karim – Istimewa Untuk Muslimat – Karya Bestari)


Anakanda-anakanda,

Pegang ayat di atas ini betul-betul sampai bila-bila.  

Persoalannya sekarang:

1.  Sudahkah mengkaji?
2.  Sudahkah berusaha keras?
3.  Sudahkah beramal soleh?
4.  Sudahkah berserah diri?

Perlu berfikir panjang dan mendalam, bukan pendek hanya untuk mudah selesai tapi pada hakikatnya tidak selesai malah lebih merumitkan.  Senaraikan pilihan yang ada dan senaraikan segala kebaikan dan keburukan atas pilihan-pilihan tersebut.

Fikir betul-betul untuk senang masa akan datang, bukan senang di saat itu sahaja.  Fikir dengan tenang jangan untuk melepaskan geram.

Iringkan segala usaha dengan amalan lain contohnya seperti bermuhasabah dan bersolat hajat.

Jangan dilupa pesanan, nasihat, teguran waima amarah orang-orang tua yang sentiasa mendoakan orang-orang muda.  Sebenarnya banyak kebenaran datang daripada mereka jika dilihat dengan mata hati yang ikhlas.  Ingkar jangan sekali.

Kalau ingkar dengan orang-orang tua pun tidak boleh, apatah lagi dengan Kuasa Yang Hakiki.  Bukankah Kuasa Yang Hakiki tempat penyerahan abadi?

Yakin dan jangan gentar kerana Allah ada.


Berpesan demi sayang kerana Allah Taala.

No comments:

Post a Comment